Malu Biarlah Bertempat
MALU BIARLAH BERTEMPAT !!
{ عن أبي مسعود عقبة بن عمرو الأنصاري البدري رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم :
إن مما أدرك الناس من كلام النبوة الأولى إذا لم تستح فاصنع ما شئت } – رواه البخاري.
Maksudnya : Dari Abi Mas’ud Uqbah Bin Amru Al-Ansari Al-Badri radiyallahuanh,katanya : Rasulullah s.a.w. bersabda : Bahawasanya sesetengah yang didapati manusia dari perkataan nabi yang terdahulu ialah; apabila engkau tidak malu,maka lakukanlah apa yang engkau kehendaki. (Diriwayatkan oleh Bukhari)
Walaupun hadis tersebut ringkas,tetapi ia membawa makna yang meluas dan cukup untuk dijadikan pedoman atau pengukur akhlaq seseorang dari segi perbuatannya.Perbuatan mencerminkan kesopanan,dan orang yang sopan tidak melakukan sesuatu yang memalukan dan mendatangkan kecelaan,kerana orang yang sopan adalah orang yang malu.Malu adalah adab dan tatatertib dunia dan agama sejak dari syariat para nabi dan rasul yang terdahulu.
”JIKA TIDAK MALU, LAKUKANLAH APA YANG DIKEHENDAKI”
Menurut pendapat para ulama’,perintah pada ayat ”lakukanlah apa yang engkau kehendaki” mempunyai dua pengertian iaitu :
1) perintah itu merupakan suatu ancaman,bukan suruhan.Jadi,jika anda tidak malu maka kerjakanlah apa yang kamu kehendaki dan Allah akan membalas kamu. Ayat ini boleh juga diertikan sebagai pengkhabaran kepada orang-orang yang tidak malu bahawa ia dipersilakan untuk melakukan apa sahaja yang dikehendakinya kerana perkara yang akan menegahnya iaitu ”malu” sudah tiada.
2) Perintah tersebut adalah suruhan.Maksudnya, jika perbuatan yang ingin engkau lakukan itu tidak memalukan sesiapapun,samaada bagi diri kamu sendiri dan bagi Allah,mahupun bagi orang lain, kerana perbuatan tersebut adalah perkara taat atau adab yang baik,maka hendaklah kamu lakukan apa yang kamu kahendaki daripadanya.
PENGERTIAN MALU DAN JENIS-JENISNYA
Malu adalah perasaan yang mendesak seseorang supaya menghindari segala kekejian dan melakukan perkara-perkara yang terpuji.Sifat ini lahir dari jiwa yang menyedari nilai diri dan hati yang percaya kepada pengawasan Ilahi atas gerak geri manusia.Kesedaran inilah yang menyebabkan seseorang itu terpelihara zahir dan batinnya dari segala perbuatan dan anasir-anasir yang membawa kepada kemurkaan Allah.
Malu terbahagi kepada dua jenis iaitu :
1) Malu yang asli,iaitu malu yang telah menjadi tabiat dan perangai seseorang sejak dilahirkan ke dunia ini.Malu tersebut akan menjadi akhlaq yang mulia jika ia menjadi kekuatan yang mencegah larangan serta mendorong kepada kebaikan.
Malu jenis ini adalah malu tabi’ie yang pada kebiasaannya dinisbahkan kepada gadis-gadis khususnya dan kaum wanita umumnya.Ini tidak bermakna kaum lelaki tidak mempunyai perasaan malu, bahkan mesti memilikinya,sekurang-kurangnya malu kepada Allah.
Kadang kala,perasaan malu menyebabkan seseorang menyimpan sesuatu perkara yang dirasakan aib bagi dirinya dari diketahui oleh orang lain.
Telah dikisahkan bahawa ada seorang wanita datang mengadu kepada seorang syaikh sambil menangis.Dia menceritakan musibah yang melanda dirinya; beberapa bulan yang lalu dia telah diperkosa dan kini dia sedang mengandung hasil daripada perbuatan tersebut.Meskipun demikian,dia belum pernah menceritakan perkara ini kepada sesiapapun dan dia telah bertaubat dengan sebenar-benar taubat,hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui kesungguhan taubatnya.Dengan suara teresak-esak dia bertanya kepada syaikh kiranya ada lelaki soleh yang ingin memperisterikannya.
Selang beberapa hari selepas itu, datang seorang lelaki soleh menyatakan hasratnya kepada syaikh bahawa dia ingin beristeri, lalu syaikh pun menikahkannya dengan wanita tersebut.Selang beberapa ketika,perut wanita tersebut semakin membesar,lalu dia pun menceritakan kisah sebenar tentang dirinya, Alhamdulillah suaminya menerimanya dengan baik dan bersedia membantunya.Tibalah hari kelahiran bayi tersebut,si suami lantas membawa anak tersebut ke masjid sambil berteriak, ”aku jumpa bayi,aku jumpa bayi di jalanan,lalu ku kutip”.Berkatalah orang ramai,”biarlah engkau memelihara bayi itu daripada dia mati di jalanan”.Maka pulanglah dia ke rumah dan dibelalah anak itu seperti anaknya sendiri.
Tahun berganti tahun,pulanglah perempuan tersebut ke rahmatullah pada suatu malam yang sunyi.Orang ramai bersepakat bahawa jenazahnya akan dimandikan pada esok pagi kerana hari sudah larut malam.Maka jenazah pun di letakkan di bahagian dapur rumahnya.Keesokan harinya sang suami mendapati jenazah isterinya telah sempurna dimandikan,ruangan dapur pula diselubungi bau yang sangat wangi yang belum pernah terbau sebelum ini.Sesungguhnya jenazahnya telah dimuliakan oleh Allah s.w.t dan dimandikan oleh para malaikat,Subhanallah!! Demikianlah kisah orang yang menyimpan aibnya kerana dibentengi perasaan malu kepada Allah dan bertaubat dengan sebenar-benar taubat.
2) Malu yang di usahakan melalu pengajaran ketuhanan dengan cara mengenal Allah,menginsafi kebesaran dan kegagahanNya serta yakin pada kekuasaanNya dan keseluruhan ilmu pengetahuanNya.Malu tersebut adalah dari setinggi-tinggi perkara iman yang termasuk dalam tingkatan ihsan yang amat terpuji.
Kadang-kadang,perasaan malu terpupuk daripada muamalat dan qudwah hasanah (tauladan yang baik) yang di pamerkan.Suatu hari,seorang syaikh terperangkap dalam kesesakan lalu lintas.Ketika lampu isyarat berwarna merah,kereta yang dipandu oleh syaikh berhenti di sebelah kereta yang dipandu oleh anak muda dengan bunyi muzik yang membingitkan telinga. Dengan cara yang baik, syaikh menasihati pemuda tersebut agar memperlahankan volume radionya.Dengan kasar pula pemuda itu menengking syaikh kembali lalu keluar dari kereta dan meludah ke muka syaikh.Syaikh tersenyum sambil menyapu ludah di mukanya,beliau mengucapkan terima kasih lalu membuat isyarat ”flying kiss” ke arah pemuda tersebut. Pemuda itu terkejut dengan tindak balas syaikh,dia terasa sangat malu lalu pergi meminta maaf dari syaikh dan menginsafi kelakuannya. Demikianlah malu yang lahir dari keinsafan,tidak perlu memakan masa yang lama,malah cukup dengan tindakbalas yang spontan.
Kedua-dua jenis malu ini amat mustahak untuk mengawasi perjalanan hidup dan memperbetulkan batas-batasnya.Ia merupakan salah satu akhlaq yang mulia di sisi Islam.Rasulullah s.a.w sendiri adalah seorang yang pemalu.Beliau pernah menegaskan bahawa : ”malu itu sebahagian daripada iman”. Malu dan iman adalah dua perkara yang berdampingan,jika hilang salah satu maka akan hilanglah yang satu lagi.Sabda Baginda lagi : ”bahawa apabila Allah menghendaki kebinasaan kepada seseorang hamba,maka dicabut perasaan malu daripadanya.Setelah itu, ditinggalkan pula perasaan amanah daripadanya.Dan engkau akan dapati seorang penghianat lagi menghianati dan seorang yang telah hilang perasaan belas kasihan.Kemudian,jadilah ia seorang yang keras lagi kasar perbuatannya.Dicabut ikatan-ikatan iman dari tengkuknya.Akhirnya,engkau memandang dia bukan lagi sebagai manusia tetapi syaitan yang durjana”.
MALU YANG TERCELA DAN TIDAK DIKEHENDAKI
Malu adalah perbuatan yang terpuji selagi mana malu itu menjadi unsur yang menghalang kejahatan dan mendorong kepada kebaikan serta tidak pula menyebabkan kehilangan hak dan kehormatan diri.
Malu yang tercela ialah malu untuk berkata dan melakukan sesuatu perkara yang benar padahal tiada sebarang halangan utuk melakukannya.Misalnya malu untuk menyuruh sesuatu yang baik dan malu untu mencegah kemungkaran.Malu ini tidak layak didefinisikan sebagai malu,sebaliknya lebih layak digelar pengecut yang amat dicela oleh syara’.
Ada juga malu yang memilih tempat,misalnya siswi-siswi di institut-institut pengajian tinggi yang banyak hipokrit dalam bab adab dan perilaku.Di universiti lagak seperti pelacur murahan (bahkan ada yang hakikatnya pelacur),jantan keliling pinggang,baju tak cukup kain,rambut berkarat,jual body sana sini,apabila balik ke kampung halaman sahaja,berlagak seperti orang baru balik haji.Kasihan ibu bapa yang tidak tahu bahawa anaknya memilih tempat untuk mempunyai perasaan malu !!Inilah malu yang dikeji.
Semantara itu, ada pula malu yang tidak dikehendaki oleh syara’ iaitu malu bertanya suatu yang belum diketahui.Sebagai contoh; malu untuk bertanya dalam perihal agama menyebabkan kekeliruan sepanjang hayat.Ketahuilah bahawa agama ini tidak menjadi bagus bagi orang yang malu dan orang yang besar diri.Berhubung perkara ini,A’isyah r.a. memuji wanita-wanita Ansar kerana mereka tidak malu bertanya perkara agama,katanya :
{نعم النساء نساء الأنصار لم يمنعهن الحياء أن يسألن عن أمر دينهن}
”sebaik-baik perempuan ialah perempuan-perempuan Ansar yang tidak menghalangi mereka oleh malu dari bertanya perkara agama mereka.”
Ummu Sulaim juga pernah bertanya kepada nabi perihal orang perempuan dalam hal yang mewajibkan mandi.Perasaan ingin mengetahui penjelasan dan kebenaran menyebabkan perasaan malu ditolak ke tepi, beliau tidak malu untuk perkara yang benar.
Oleh itu,nasihatilah diri sendiri agar memiliki perasaan malu dan menyedari bahawa gerak geri sentiasa diperhatikan. Jadi,sekurang-kurangnya malulah kepada Allah dan kedua-dua malaikat di bahu kanan dan kiri,mereka sentisa bersama kita.
Demikianlah kata-kata nabi-nabi yang terdahulu yang diwarisi oleh manusia sepanjang zaman, iaitu : ”apabila engkau tidak malu,maka lakukanlah apa yang engkau kehendaki”.Tidak malu bererti tidak beradab,tidak berbudi pekerti,dan tidak mempunyai tata tertib.Jika tiada semua ini,segala sesuatu boleh dibuat tanpa menghitung apa akan terjadi,malah biar sahajalah apa akibatnya nanti.
والله أعلم
Rujukan :
-himpunan Hadis 40 oleh Imam Nawawi
-Jami’ Al-ulum wal Hikam,
oleh Imam Ibnu Rejab Al-Hanbali
By:(tuhfahimaniyah@yahoo.com)



Jadikan Ramdahan Bulan Beramal
Kerana Sesungguhnya Ramadhan Adalah Bulan Yang Mulia
0 Comments:
Post a Comment
Subscribe to Post Comments [Atom]
<< Home